SONGKHLA (THAILAND): Polis Thailand menemukan lebih 550 kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam sebuah kereta dekat ladang getah di Ban Prakob, Na Thawi, berhampiran sempadan negara jiran di sini, kelmarin.
Penemuan bahan terlarang itu hasil maklumat orang awam selepas melihat sebuah kereta jenis Honda Jazz yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah berkenaan.
Jurucakap Polis Wilayah Songkhla berkata, sejurus menerima maklumat tersebut, sepasukan anggota telah digerakan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
“Sepasukan anggota polis diketuai Leftenan Kolonel Somporn Yangchuay melakukan siasatan pada pukul 6 petang dan menemukan kereta itu dengan pintunya dikunci.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ditangguhkan kerana keadaan mula gelap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jurucakap memberitahu, pada pukul 10 pagi semalam, anggota polis, Unit Pemusnah Bom dan bahagian forensik mula melakukan penggeledahan.
Katanya, dalam pemeriksaan itu pihak berkuasa menemukan lebih 10 guni syabu yang setiap satu seberat 50 kg diletak di tempat duduk belakang kereta tersebut.
“Kita percaya dadah terbabit mungkin akan diseludup ke negara jiran melalui jalan hutan dan berbukit di kawasan itu.
“Sindiket terbabit menjadikan ladang getah dan hutan berhampiran sempadan untuk menyembunyikan sementara dadah berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan tetapi siasatan masih diteruskan. – UTUSAN










