HAT YAI (THAILAND): Seorang rakyat Malaysia ditahan bersama 105 kilogram (kg) syabu oleh pihak berkuasa Thailand dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Asia, berhampiran persimpangan Khlong Wah di sini pada 5 Mei lalu.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi semasa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic bernombor plat Malaysia dalam keadaan mencurigakan.
Penguasa Balai Polis Hat Yai, Kolonel Makha Kaewthong berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan kotak pembesar suara besar mengandungi 102 kg syabu.
Katanya, suspek mengaku menerima upah RM15,000 sebaik sahaja tugas menghantar bahan terlarang itu selesai.
“Supek mengaku ini kali kedua dia mengangkut dadah dan memberitahu memandu ke Bangkok untuk mengambil dadah terbabit sebelum menyeludup ke Malaysia. Suspek kini ditahan reman 68 hari sebelum berdepan pertuduhan menjual narkotik Kategori 1 untuk tujuan komersial yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kejayaan rampasan itu adalah hasil maklumat risikan Biro Penindasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkait sindiket penyeludupan dadah.
Sementara itu, Polis Wilayah Chumphon merampas 519 kilogram syabu selepas menahan sebuah pikap di Daerah Mueang Chumphon, kelmarin. Ketua Bahagian Siasatan Polis Daerah Pathomporn, Leftenan Kolonel Piyapol
Chatphum berkata, kenderaan itu ditahan kira-kira jam 4.10 pagi dan pemeriksaan menemui bungkusan dadah dipercayai untuk sindiket di Selatan Thailand sebelum diseludup ke negara jiran. Dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 40-an turut ditahan bagi siasatan lanjut. – UTUSAN










