Skrin LED MPK diserang sebab sistem keselamatan lemah - Utusan Malaysia

Skrin LED MPK diserang sebab sistem keselamatan lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem paparan diod pemancar cahaya (LED) di Kluang, Johor yang menyebabkan video lucah dipaparkan pada skrin itu kelmarin, diserang akibat kelemahan keselamatan.

Perkara itu didedahkan oleh kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Leakers’ di sebalik kes pencerobohan berkenaan.

Memetik laporan portal The Cairo Post, kumpulan itu menjelaskan penggodaman dilakukan bukan bertujuan untuk memeras ugut wang atau menyebarkan perisian tebusan (ransomware).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syarikat mengenakan bayaran berjuta-juta ringgit untuk membina infrastruktur di pelbagai negara, namun membiarkan skrin LED dan rangkaian papan iklan terdedah begitu sahaja di internet tanpa perlindungan asas.

“Kami bukan mahu memberi ceramah, meminta derma atau bertindak seperti kumpulan perisian tebusan.

“Matlamatnya mudah iaitu mendedahkan kelemahan ini dan membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh mengambil alih skrin di seluruh negara anda secara langsung.

“Media arus perdana gemar mendakwa ia adalah serangan siber tajaan kerajaan yang sangat canggih, hakikatnya infrastruktur anda amat memalukan di mana sahaja anda berada di atas peta,” kata kenyataan itu.

Kumpulan penggodam itu menjelaskan serangan berkenaan sebelum ini menjejaskan beberapa negara termasuk Mesir, Iraq, Brazil, China, dan Malaysia.
Wakil sindiket itu berkata, ahlinya sudah mengeksploitasi kelemahan pada perisian yang digunakan untuk memindahkan kandungan ke paparan LED.

Mereka mendakwa, perisian yang diceroboh itu mempunyai beberapa kelemahan keselamatan, dengan sebahagian daripadanya boleh dieksploitasi melalui halaman dan antara muka sistem itu sendiri.

Katanya, mereka mengesan sasaran melalui pengimbasan automatik, bukannya memilih syarikat atau negara tertentu secara sengaja sebelum mengambil alih papan iklan terbabit.

Kumpulan itu dilaporkan turut mengenal pasti ribuan sistem terdedah dalam tempoh kira-kira dua jam.

Semalam, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) memohon maaf susulan berlaku pencerobohan siber (penggodaman) melibatkan sistem paparan LED pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Sejak Khamis lalu, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan sistem paparan LED milik PBT itu menayangkan rakaman video menunjukkan aksi lucah termasuk di Dataran Tasek Putih dan Hentian Pengangkutan Awam Kluang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini