NEW YORK: Meta mengenal pasti kemungkinan terdapat cubaan penggodaman terhadap akaun WhatsApp pegawai Amerika Syarikat (AS) daripada pentadbiran Presiden Joe Biden dan Donald Trump.
Syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp itu menuduh kumpulan penggodam Iran yang sama terlibat dalam mencuri maklumat daripada kempen Trump sebelum ini.
Dalam satu catatan blog, Meta mendakwa percubaan tersebut melibatkan akaun yang menyamar sebagai sokongan teknikal untuk AOL, Google, Yahoo dan Microsoft.
Meta menyekat akaun tersebut selepas pengguna melaporkan aktiviti yang mencurigakan dan tidak melihat sebarang bukti menunjukkan akaun WhatsApp yang disasarkan terjejas.
Syarikat itu mengaitkan aktiviti tersebut dengan APT42, sebuah kumpulan penggodam yang dipercayai mempunyai hubungan dengan bahagian perisikan di dalam tentera Iran.
Kumpulan ini terkenal dengan perisian pengintipan yang dipasang pada telefon bimbit mangsa, membolehkan mereka merakam panggilan, mencuri mesej teks dan menghidupkan kamera serta mikrofon secara senyap, kata penyelidik.
Meta juga mengaitkan aktiviti kumpulan ini dengan usaha untuk menceroboh kempen Presiden AS yang dilaporkan oleh Microsoft dan Google awal bulan ini, menjelang pilihan raya presiden AS pada November depan.
Catatan blog syarikat itu tidak menyebut nama individu yang disasarkan, sebaliknya hanya menyatakan penggodam dilihat memfokuskan pegawai politik dan diplomatik, tokoh perniagaan serta individu awam lain, termasuk berkaitan pentadbiran Biden dan Trump.
Individu-individu tersebut berpangkalan di Israel, wilayah Palestin, Iran, AS dan United Kingdom (UK).- REUTERS










