Zahid yakin gelombang biru lingkungi Melaka

Zahid yakin gelombang biru lingkungi Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin ‘gelombang biru’ akan terus melingkungi seluruh Melaka sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk semula kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan rakyat serta prestasi kerajaan negeri pimpinan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr. Ab. Rauf Yusoh sepanjang menerajui negeri berkenaan.

Menurut beliau, BN turut menampilkan kesepakatan kukuh apabila UMNO, MCA dan MIC bersama-sama mengambil bahagian dalam pertandingan membabitkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka termasuk kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“UMNO bertanding 18 kerusi, MCA empat kerusi dan MIC satu kerusi, manakala selebihnya ditandingi rakan-rakan strategik kita.

“Ini merupakan manifestasi kebersamaan. Ramai menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot PRN Melaka atau sekurang-kurangnya merajuk, tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Sebaliknya, MCA diberikan empat kerusi dan kita mahu pengundi di Melaka melihat kepada prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Utama Dr. Ab. Rauf Yusoh,” katanya ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena PRN Melaka di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Ab. Karim, Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.

Ahmad Zahid hadir mengiringi Ab. Rauf bagi mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara apabila berdepan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr.’ pada nama Ab. Rauf adalah berikutan pengesahan daripada Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa Ketua Menteri Melaka itu bakal menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Beliau berkata, pengesahan tersebut sekali gus menjadikan penggunaan gelaran berkenaan sah mengikut peraturan dan undang-undang berkaitan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kelayakan akademik bukanlah kriteria utama dalam menentukan sokongan rakyat, sebaliknya prestasi kepimpinan dan keupayaan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat lebih penting.

Mengulas perjalanan kempen PRN Melaka, beliau berharap pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana tenang tanpa dicemari fitnah serta serangan peribadi.

Katanya, hasrat Ab. Rauf untuk memastikan kempen yang bersih dan berhemah turut mendapat persetujuan daripada pihak Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap apa yang telah dihasratkan oleh Rauf supaya tidak ada kempen fitnah atau mencacat-celakan kempen dengan pelbagai kaedah yang tidak baik, akan benar-benar dilaksanakan oleh semua pihak.

“Yang paling penting, pengundi-pengundi di Melaka telah pun meletakkan di hati dan minda mereka bahawa gelombang biru akan terus melingkungi seluruh negeri Melaka, insya-Allah,” katanya.

Ditanya sasaran kemenangan BN, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mandat sepenuhnya diserahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.

Beliau bagaimanapun berharap sokongan yang dizahirkan rakyat dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan bagi membolehkan BN kembali membentuk kerajaan negeri.

“Kita serahkan mandat ini semula kepada rakyat dan rakyat telah meletakkan di hati dan minda mereka untuk bersama-sama dengan kita.

“Saya harapkan perkara ini benar-benar dapat diterjemahkan dan kita berharap selepas ini dapat membentuk kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi bayangan bahawa Ab. Rauf akan terus dicadangkan sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya BN mendapat mandat membentuk kerajaan negeri.

“Dengan tidak mendahului kuasa-kuasa yang ada pada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, tetapi saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional akan mencadangkan bahawa Datuk Seri Utama Dr. Rauf akan terus menjalankan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka, insya-Allah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini