Adly Zahari dicabar tiga calon lain di Bukit Katil - Utusan Malaysia

Adly Zahari dicabar tiga calon lain di Bukit Katil

Antara calon yang bertanding di kerusi DUN Bukit Katil pada PRN Melaka Ke-16. Dari kiri, Adly Zahari, Mohd. Ridzuan Mohd. Shariff, Abu Bakar Sabudin dan Aliza Che Amran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari berdepan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas tiga calon lain turut disahkan bertanding di kerusi berkenaan.

Selain Adly yang mewakili Pakatan Harapan (PH), pertandingan itu turut menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Ridzuan Mohd. Shariff dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin serta calon Parti Bersama, Aliza Che Amran bagi merebut mandat pengundi di kawasan berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Katil, Shaifulfazlee Mohamad mengesahkan kesemua kertas penamaan calon yang diterima tidak ditolak selepas selesai proses semakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, semua calon yang mengemukakan kertas penamaan layak bertanding di kerusi N17 Bukit Katil.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada kertas penamaan yang ditolak.

“Dengan ini, saya mengumumkan calon-calon yang disahkan bertanding dalam bahagian Pilihan Raya N17 Bukit Katil mengikut susunan dalam kertas undi,” katanya di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Pada PRN Melaka Ke-15, Adly memperoleh majoriti 1,057 undi selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hasnoor Sdg Husin daripada BN, Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).

Beliau berkata, pusat-pusat mengundi akan dimaklumkan menerusi Borang 8, iaitu notis pilihan raya yang dipertandingkan, sebelum diwarta dan dipamerkan di pusat mengundi yang ditetapkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari mengundi PRN Melaka, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini menyatakan keyakinan Adly akan diberikan mandat semula oleh pengundi di Bukit Katil.

Beliau berkata, PH akan memberikan tumpuan kepada kawasan yang ditandingi gabungan itu sepanjang tempoh kempen PRN kali ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini