KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak campur tangan berhubung kepulangan semula Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar erkata, perkara itu merupakan urusan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, AGC setakat ini tiada sebarang pandangan rasmi berhubung penempatan semula Suhaily kerana perkara itu belum dirujuk kepada pihaknya untuk mendapatkan nasihat perundangan.
“Kita (AGC) tidak campur sama ada Datuk Seri Suhaily nak kekal di situ (AKPS) ataupun nak ditukarkan balik ke PDRM, itu kita tak campur tanganlah. Itu lebih kepada soal pentadbiran.
“Jadi kalau jika ada isu-isu tentang apa-apa tindakan lanjut berkaitan isu-isu perundangan tu memang AGC akan terlibatlah. Cuma perkara tersebut dalam tindakan pihak KDN secara pentadbiran,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Penyerahan Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Kok Lanas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dasuki memberitahu, pada hakikatnya Suhaily merupakan seorang pegawai polia yang diambil secara kontrak untuk berkhidmat di AKPS.
Katanya, AGC hanya akan terbabit sekiranya terdapat isu perundangan yang memerlukan penelitian atau tindakan lanjut daripada jabatan itu.
“Kalau ada isu-isu tentang apa-apa tindakan lanjut berkaitan isu-isu perundangan itu memang AGC akan terlibatlah,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, kedudukan Ketua Pengarah AKPS Mohd. Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada AGC sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan bagi tindakan selanjutnya.-UTUSAN











