MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menetapkan pendirian untuk menolak sebarang bentuk politik kebencian, adu domba dan serangan peribadi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu akan mengutamakan kempen secara aman dan berhemah dengan menghormati perbezaan pandangan politik antara parti yang bertanding.
Menurutnya, PH turut menolak pendekatan politik berasaskan sentimen perkauman yang menganggap kejayaan sesuatu kaum hanya boleh dicapai dengan menindas atau mengetepikan kaum lain.
“Dalam politik, memang riuh-rendah dengan perbezaan pandangan tetapi PH mengambil pendekatan bahawa perbezaan pandangan itu harus dihormati.
“Garis merah kami adalah menolak sama sekali politik kebencian, politik adu domba dan politik yang berteraskan bahawa untuk membela kaum sendiri, kita harus menindas kaum lain.
“Kami akan ketengahkan kempen aman kerana kami insaf bahawa kempen pilihan raya bukan diukur berdasarkan pihak mana yang paling lantang, tetapi siapa yang paling dipercayai dan diyakini,” katanya dalam sidang akhbar harian Jabatan Pilihan Raya PH di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH menganggap pilihan raya negeri itu sebagai pesta demokrasi yang perlu diraikan dengan semangat menghormati perbezaan pendapat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut merupakan mesej pertama daripada tiga mesej utama yang akan diketengahkan PH sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, mesej kedua pula memberi tumpuan kepada dasar, idea, rekod kerja serta keupayaan calon dan gabungan itu menyelesaikan masalah rakyat.
“Ini bukan pertandingan fitnah, jauh sekali pertandingan siapa paling kuat menyerang peribadi.
“Ini adalah pilihan mengenai idea, dasar, rekod kerja, penyelesaian masalah dan kebajikan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH akan menjadikan prestasi pentadbiran gabungan itu di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai sandaran untuk mendapatkan keyakinan pengundi.
Menurutnya, empat prinsip utama yang akan diketengahkan ialah kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat dan amalan tatakelola yang baik.
Tambahnya, mesej ketiga pula akan diperincikan menerusi manifesto PH yang bakal dilancarkan dengan memberi penekanan kepada peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan golongan muda. -UTUSAN











