687,697 pengundi pilih kerajaan baharu Melaka pada 14 November

687,697 pengundi pilih kerajaan baharu Melaka pada 14 November

RAMLAN Harun (tengah) dalam sidang media Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Banda Hilir, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 687,697 pemilih akan memilih kerajaan negeri yang baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ditetapkan pada 14 November ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya telah menetapkan hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November dalam mesyuarat PRN Melaka berlangsung semalam.

Katanya, writ pilihan raya dikeluarkan semalam selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berhubung pengisytiharan pembubaran DUN Melaka pada 23 September lalu.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga 11.59 malam, 13 November,” katanya semasa sidang akhbar di Banda Hilir, di sini semalam.

Ramlan berkata, seramai 687,697 pemilih terlibat dalam PRN kali ini berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Julai 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 675,166 adalah pengundi biasa, 9,769 anggota tentera serta pasangan dan 2,762 anggota polis,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 271 pusat mengundi digunakan yang membabitkan 1,263 saluran terdiri daripada 31 pusat mengundi awal dengan 50 saluran serta 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran.

Katanya, seramai 11,175 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya, manakala 28 pegawai pengurus pilihan raya akan dibantu 80 penolong pegawai pengurus.

“Sebanyak 28 pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan,” katanya.

Dalam pada beliau berkata, SPR menganggarkan PRU Melaka memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45 juta.

Bagi urusan undi pos, Ramlan berkata, permohonan semua kategori undi pos dalam dan luar negara dibuka sejak 23 September lalu.

Katanya, tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media ialah 28 Oktober.

“Bagi kategori 1B membabitkan warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan kategori 1C bagi agensi atau organisasi, tarikh tutup permohonan ialah 23 Oktober,” katanya.

Menurutnya, SPR juga memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik bagi Kehadiran Pengundi (OCR-VA) di semua saluran di setiap pusat mengundi membabitkan kesemua 28 bahagian pilihan raya negeri Melaka.

Ramlan berkata, sistem berkenaan merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.

“Pelaksanaan OCR-VA merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.

“Pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan dan seterusnya meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN