PETALING JAYA: Kira-kira 4.6 juta pekerja swasta dalam bidang profesional seperti jurutera, akauntan dan arkitek masih menerima gaji bawah RM4,000 walaupun memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dan pengalaman lebih 10 tahun.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, keadaan itu memperlihatkan realiti pasaran pekerjaan semasa apabila kelayakan akademik dan pengalaman sedekad masih belum menjamin pendapatan yang mampu menampung kos kehidupan dengan selesa.
Katanya, hampir separuh daripada tujuh juta pekerja profesional swasta memperoleh gaji di bawah paras pendapatan yang dianggap selesa iaitu antara RM3,500 hingga RM4,500 sebulan selepas 10 tahun berkhidmat berdasarkan data Struktur Upah Sektor Formal bagi Mac 2025.
Menurut Kamarul Baharin, lebih membimbangkan peningkatan upah pekerja profesional seolah-olah bergantung kepada semakan gaji minimum setiap dua tahun, sedangkan kos sara hidup terus meningkat seiring kadar inflasi.
“Inflasi sekitar 2.5 peratus setahun bermakna kuasa beli pekerja turut terhakis sekiranya kenaikan gaji tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup.
“Kebanyakkan adalah golongan yang mempunyai pendidikan ijazah. Gaji mereka masih rendah seperti jurutera, akauntan, arkitek walaupun sudah berkhidmat hampir 10 tahun.
“Keadaan itu menunjukkan masih terdapat jurang ketara antara kelayakan, pengalaman dan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh para pekerja sektor swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Beliau berkata, semakan dan kajian mengenai pelarasan gaji minimum berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurut Kamarul Baharin, justeru itu penetapan gaji kadar gaji minimum baharu wajar ditetapkan pada RM3,100 dan ke atas setelah mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta realiti pendapatan pekerja.
“Kami melihat perkara ini sangat serius sehingga gaji pekerja tidak sejajar dengan produktiviti dan berharap belanjawan nanti akan memberikan sinar kepada pekerja berkaitan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM3,100 dan struktur skala gaji berdasarkan kepada pengalaman, pendidikan dan kemahiran pekerja.
“Kerajaan perlu gunakan kuasa bagi mengadakan struktur gaji supaya masalah ketidakpadanan kemahiran, taraf pendidikan dan pengalaman dapat dibezakan melalui peringkat gaji yang diberikan
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Tan Eng Hong berkata, struktur ekonomi domestik Malaysia masih banyak bergantung kepada industri berintensif buruh, produktiviti rendah serta tenaga kerja berupah murah.
Malah katanya, pekerja negara hanya menerima kira-kira 30 peratus daripada keuntungan korporat, manakala baki 70 peratus kekal kepada pemilik dan pemegang saham syarikat.
“Perlu direkodkan bahawa gaji minimum sudah ketinggalan zaman. Dengan peningkatan kos sara hidup, ramai masih tidak mampu menampung keperluan harian walaupun kadar gaji minimum telah dinaikkan.
“Walaupun terdapat perbincangan mengenai dasar gaji progresif, persoalannya adalah sejauh mana ia praktikal untuk dilaksanakan,” katanya.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Low Boon Tat berkata, pihaknya mengakui masih terdapat pekerja dalam industri media yang telah berkhidmat lebih 10 tahun tetapi menerima gaji di bawah RM4,000.
“Bagi pihak NUJM, gaji dalam industri media terlalu rendah sedangkan sekarang ini kos hidup semuanya mahal. Gaji minimum sekurang-kurangnya harus RM3,500 dan ke atas.
“Taraf hidup kita semakin lama semakin tinggi. Kalau seseorang itu mempunyai keluarga dan banyak perbelanjaan, selepas membayar segala komitmen, berapa sahaja yang tinggal daripada gaji mereka?” katanya.
Beliau berkata, isu gaji bukan sekadar berkaitan jumlah pendapatan pekerja, sebaliknya turut mempunyai kaitan dengan produktiviti dan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.
Katanya, pekerja yang menerima pendapatan tidak mencukupi mungkin terpaksa mencari pekerjaan kedua atau ketiga bagi menampung keperluan hidup, sekali gus berpotensi menjejaskan tumpuan mereka terhadap pekerjaan utama.
“Majikan perlu fikirkan keadaan pekerja. Kalau gaji tidak mencukupi, mereka mungkin terpaksa buat kerja kedua atau ketiga dan akhirnya tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada kerja hakiki.
“Kalau pendapatan mereka mencukupi, mungkin mereka boleh memberikan lebih tumpuan dan melakukan yang terbaik untuk pekerjaan mereka,” katanya.
Boon Tat berkata, keadaan ekonomi juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kebajikan pekerja, kerana dalam keadaan ekonomi baik sekalipun, kenaikan gaji tidak semestinya diberikan secara automatik.
“Kalau ekonomi baik, syarikat pun belum tentu akan beri (kenaikan gaji) lebih. Kalau ekonomi merosot, lagilah mereka tidak akan beri.
“Apa yang kita boleh buat ialah duduk dan berunding. Majikan perlu melihat perkara ini daripada sudut kebajikan pekerja dan kebaikan untuk majikan,” katanya.-UTUSAN











