IPOH: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai menyerang dan mengugut seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang menjalankan tugas pada Jumaat lalu.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 12.40 tengah hari semalam, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian itu, mangsa diserang dan diugut ketika sedang mengeluarkan notis kompaun di Jalan Pengkalan Barat 35 di sini.
Katanya, suspek dipercayai bertindak agresif dengan cuba melanggar mangsa menggunakan kenderaan sebelum mengekori mangsa, menarik bahagian leher baju dan mengeluarkan ugutan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan sebelum membuat laporan polis.
“Susulan maklumat yang diterima, polis berjaya mengesan dan menahan suspek untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Najib menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menghalang, menyerang atau mengugut penjawat awam ketika mereka menjalankan tugas. – UTUSAN










