PETALING JAYA: Beregu muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mengejutkan pasangan No. 6 dunia, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Grand Hall – Kai Tai Arena, Hong Kong, hari ini.
Gandingan yang menghuni ranking ke-41 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas Yin Hui-Jhih Yun 21-19, 21-18 dalam masa 37 minit.
Kemenangan ke atas beregu No. 1 Taiwan itu bukanlah kali pertama dicatat Zi Yu-Noraqilah kerana pada Julai lalu, mereka pernah mengalahkan lawan yang sama pada Terbuka Taiwan.
Kejayaan terbaru itu meletakkan Zi Yu-Noraqilah kini mendahului Yin Hui-Jhih Yun dengan rekod pertemuan 2-1.
Pada suku akhir, esok beregu remaja itu akan menghitung pertemuan dengan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai.
Pasangan senior, Pearly Tan-M. Thinaah turut melayakkan diri ke peringkat lapan terbaik selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-9, 21-10 dalam masa 27 minit.
Beregu No. 4 dunia itu yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal berdepan Lauren Lam-Allison Quynh Lee dari Amerika Syarikat bagi perebutan tempat ke separuh akhir.
Dalam saingan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut melepasi halangan pusingan kedua selepas mengetepikan gandingan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan 21-16, 21-16 dalam masa 32 minit.
Wei Chong-Kai Wun yang merupakan beregu No. 9 dunia sekali lagi akan bertemu pasangan No. 12 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard tetapi kali ini di suku akhir, selepas mereka tewas kepada wakil Denmark itu pada peringkat 16 terbaik di Jepun Masters, minggu lalu.
Malaysia juga mempunyai wakil beregu campuran di suku akhir, selepas pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai 22-20, 21-19 dalam masa 35 minit.
Menanti beregu ke-13 dunia itu di peringkat seterusnya adalah pasangan handalan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang menghuni ranking No. 5 dunia.
Sementara itu, nasib berbeza dialami empat lagi wakil negara iaitu Aaron Tai-Yap Roy King, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing dan Wong Ling Ching setelah mereka tumpas kepada pencabar masing-masing. – UTUSAN











