Aaron-Roy King iringi empat lagi wakil negara ke pusingan kedua

Aaron-Roy King iringi empat lagi wakil negara ke pusingan kedua

AARON Tai-Yap Roy King. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki sensasi negara, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan rentak konsisten mereka apabila mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Grand Hall – Kai Tai Arena, Hong Kong, hari ini.

Juara Jepun Masters itu menewaskan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-17, 21-14 dalam masa 29 minit di peringkat 32 terbaik.

Aaron-Roy King yang kini naik ke ranking No. 38 dunia akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 18 dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia pada pusingan kedua, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut mengikut jejak langkah Aaron-Roy King adalah beregu lelaki No. 9 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas menyingkirkan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand 21-10, 21-14 dalam masa 25 minit.

Gandingan No. 3 Malaysia tersebut bakal berdepan pasangan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan yang menghuni ranking ke-39 dunia pada pusingan kedua.

Beregu profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pula mengalahkan pasangan Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 21-16, 17-21, 21-19 dalam masa 54 minit.

Pada peringkat seterusnya, pasangan ke-31 dunia itu dijadual bertemu gandingan No. 6 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Dalam saingan beregu wanita, gandingan remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mencatat kemenangan straight set ke atas wakil Thailand, Ornnicha Jongsathapornparn-Sabrina Sophita Wedler 21-18, 21-16 dalam masa 35 minit.

Menanti Zi Yu-Noraqilah yang menghuni ranking ke-41 itu di pusingan kedua adalah beregu No. 6 dunia, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan.

Sementara itu, Wong Ling Ching menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan setelah berjaya melepasi halangan pusingan pertama dengan menundukkan Ishika Jaiswal dari Amerika Syarikat 16-21, 21-17, 21-15 dalam masa 1 jam 4 minit.

Di pusingan kedua, Ling Ching bakal mengharungi laluan getir menentang jaguh No. 6 dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand.

Pemain perseorangan profesional, Cheam Jun Wei pula gagal melepasi halangan pusingan pertama selepas tewas kepada Anders Antonsen 15-21, 14-21 dalam masa 38 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini