Samun, rompak bukan sekadar hilang harta, nyawa jadi taruhan - Utusan Malaysia

Samun, rompak bukan sekadar hilang harta, nyawa jadi taruhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan samun dan rompakan tidak boleh dipandang ringan kerana jenayah seumpama itu bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda, malah boleh mengancam nyawa serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo Jian Woon berkata, tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan lelaki yang disyaki terbabit dalam 24 kes samun menggunakan teksi di ibu negara wajar dipuji dan membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras jenayah.

“Kita perlu puji tindakan pantas PDRM. Kita tidak boleh pandang ringan dan tidak boleh biarkan kegiatan samun serta rompakan berlaku sewenang-wenangnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keselamatan masyarakat perlu menjadi keutamaan. Apabila penjenayah semakin berani menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya mangsa, tindakan tegas dan pantas perlu diambil bagi memastikan mereka tidak terus mengancam keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Daniel yang turut memegang jawatan Pengerusi Biro Jenayah Jalan Raya Skuad Sahabat JPJ Malaysia berkata, modus operandi suspek yang menyamar sebagai pemandu teksi untuk mencari mangsa merupakan satu perkara serius kerana penjenayah bukan sahaja mengambil kesempatan terhadap kelemahan mangsa, malah menyalahgunakan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan.

Menurutnya, penumpang sepatutnya boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan selamat tanpa perlu bimbang menjadi mangsa jenayah, justeru aspek pengesahan identiti pemandu dan pemantauan kenderaan perlu diberikan perhatian.

Katanya, pengusaha perkhidmatan teksi dan syarikat pengangkutan perlu memastikan setiap pemandu mempunyai identiti serta dokumen yang sah, selain menyediakan sistem rekod perjalanan yang boleh membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian jenayah.

“Jangan hanya melihat aspek operasi dan keuntungan, tetapi keselamatan penumpang juga mesti menjadi keutamaan. Identiti pemandu, maklumat kenderaan dan rekod perjalanan perlu mudah disemak supaya pengguna tahu siapa yang membawa mereka ke destinasi.

“Jika ada aduan atau sesuatu yang mencurigakan, tindakan susulan perlu dibuat dengan segera dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi seperti sistem penjejakan lokasi, kamera papan pemuka (dashcam) dan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai antara langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan pengguna serta membantu siasatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Daniel berkata, golongan wanita, warga emas dan individu yang bergerak bersendirian perlu lebih peka terhadap keselamatan diri, khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan kenderaan persendirian.

Katanya, penumpang boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan berkongsi maklumat perjalanan dan nombor pendaftaran kenderaan dengan ahli keluarga atau kenalan terdekat, selain memastikan kenderaan yang dinaiki sepadan dengan maklumat tempahan.

“Langkah berjaga-jaga mungkin nampak kecil, tetapi boleh membantu mengurangkan risiko. Ahli keluarga juga boleh memainkan peranan dengan mengetahui perjalanan orang tersayang, terutama warga emas atau mereka yang pulang bersendirian pada waktu malam,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah tidak boleh diserahkan kepada polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat melalui sikap prihatin dan keberanian menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, masyarakat perlu mengamalkan sikap tidak berdiam diri apabila melihat kegiatan mencurigakan, termasuk melaporkan pergerakan kenderaan atau individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah.

Pada masa sama, beliau berharap PDRM terus mempergiatkan rondaan dan risikan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko jenayah tinggi, selain memastikan setiap laporan orang awam diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang konsisten dan langkah pencegahan berterusan penting bagi memastikan penjenayah tidak merasakan mereka mempunyai ruang untuk melakukan kegiatan samun dan rompakan tanpa dikenakan tindakan.

“Kita tidak mahu masyarakat hidup dalam ketakutan atau hilang keyakinan terhadap keselamatan persekitaran mereka. Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian lebih buruk atau ada nyawa terkorban sebelum langkah pencegahan dipertingkatkan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan. Polis perlu bertindak, pengusaha pengangkutan perlu bertanggungjawab dan masyarakat pula perlu sentiasa peka. Keselamatan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini