IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan memanfaatkan perkongsian orang ramai menerusi media sosial sebagai sumber maklumat bagi mengesan kejadian bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Ghazali Abd Rahman berkata, setiap perkongsian berkenaan akan dipantau dan diteliti oleh petugas di Pusat Kawalan Operasi yang beroperasi 24 jam
“Netizen (warga maya) memang proaktif. Biasanya mereka akan berkongsi maklumat berkaitan bencana yang berlaku di kawasan masing-masing menerusi media sosial.
“Di peringkat APM kita ada Pusat Kawalan Operasi yang beroperasi 24 jam, jadi petugas yang sama juga akan memantau laporan melalui talian kecemasan dan perkongsian di media sosial.
“Sekiranya menerima sebarang laporan atau maklumat berkaitan kejadian bencana, pasukan APM akan segera digerakkan ke lokasi untuk membuat tinjauan awal sebelum tindakan susulan diatur,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Warga APM Perak di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Perak, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama Ghazali berkata, setakat pukul 2 petang, lima negeri iaitu Perak, Selangor, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan terlibat dalam operasi bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, keadaan bencana di negeri terbabit masih terkawal dengan keperluan anggota, aset dan logistik mencukupi tanpa memerlukan bantuan pasukan rentas negeri atau zon.
“Arahan telah diberikan kepada semua pengarah APM negeri supaya memastikan anggota dan aset berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan apabila berlaku bencana banjir atau tanah runtuh.
“Kita juga sudah mengatur gerak pasukan sokongan (Civil Defence Auxiliary -CDA) bagi membantu dari segi keperluan logistik dan aset kepada pasukan APM yang ditugaskan di lokasi bencana,” katanya. – UTUSAN











