TAMPARULI: Penduduk Tamparuli sudah lama berdepan gangguan bekalan air yang dikaitkan dengan pencemaran sumber air mentah terutama membabitkan Sungai Bawang dan Sungai Mangkaladoi yang menjadi sumber penting masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, gangguan itu turut memberi kesan kepada operasi Loji Rawatan Air Telibong Satu berikutan kandungan ammonia tinggi dalam sumber air mentah.
Beliau berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada kegiatan penternakan ayam dan khinzir yang beroperasi di daerah berkenaan, termasuk pelepasan sisa ternakan ke sungai berhampiran.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, terdapat lebih 19 ladang ayam beroperasi di Tamparuli selain beberapa ladang ternakan khinzir.
“Loji Rawatan Air Telibong Satu beberapa kali mengalami gangguan operasi disebabkan kandungan ammonia tinggi sumber air mentah sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, keterjaminan makanan dan bekalan air perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.
Beliau berkata, pengeluaran makanan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan rakyat terhadap bekalan air bersih.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sistem pelesenan ladang ternakan dan rumah sembelih diwujudkan bersama syarat pengurusan efluen, pemantauan berkala serta penguatkuasaan berkesan.
Katanya, Sabah memerlukan sistem kawal selia lebih moden bagi memastikan industri ternakan terus berkembang tanpa menjejaskan alam sekitar. – UTUSAN










