GEORGE TOWN : Kira-kira 30 buah sekolah dalam daerah Barat Daya di sini berdepan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual bermula hari ini.
Antara sekolah tersebut termasuk sekolah yang beroperasi dua sesi seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, SK Sungai Nibong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, beberapa buah sekolah berasrama serta kolej vokasional.
Difahamkan, masalah itu berlaku susulan kerja-kerja pembaikan saluran paip utama yang dilaporkan pecah di Jalan Raja Uda, Butterworth, semalam.
Selain sekolah, turut terjejas ialah lebih 50 kawasan perumahan dan kilang di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Bukit Gedung, Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Pulau Betong dalam daerah yang sama.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menghubungi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selepas menerima aduan mengenai isu gangguan air tersebut khususnya di sekolah-sekolah.
Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya juga telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan sesi libat urus secara Google Meet untuk membimbing pihak sekolah dalam menyediakan tempat tadahan air bagi bantuan penghantaran bekalan air tersebut.
“Setakat ini, kesemua sekolah yang terlibat masih beroperasi seperti biasa berpandukan langkah kawalan serta penjimatan air yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini.
Difahamkan, masalah gangguan bekalan air tidak berjadual itu berlaku untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam dan dijangka berakhir sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan saluran paip utama itu selesai.-UTUSAN










