JOHOR BAHRU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba ‘menipu’ rakyat negeri ini dengan menjadikan masalah gangguan bekalan air di Benut, Pontian dan Simpang Renggam, Kluang berpunca daripada pembinaan pusat data di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gangguan itu berpunca daripada cuaca kemarau yang berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah di sungai-sungai kawasan berhampiran.
Katanya, keadaan cuaca kemarau sama turut berlaku di beberapa negeri lain dan bukan hanya di Johor sahaja.
“Sebagai kerajaan yang mentadbir hari ini, kami bertanggungjawab memastikan kestabilan, ketelusan maklumat dan tindakan penyelesaian yang konkrit. Ini bukan masa bermain politik dan cuba menangguk di air keruh dengan menakut-nakutkan rakyat dan mengeluarkan dakwaan tidak berasas.
“Saya seru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila melibatkan keperluan asas rakyat dan pelaburan strategik negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemuda PH Johor dalam satu kenyataan mendakwa gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan negeri ini disebabkan pembangunan pelbagai infrastruktur ekonomi termasuk pusat data di negeri ini.
Onn Hafiz menjelaskan bahawa tiada mana-mana pusat data yang dibina berhampiran Benut dan Simpang Renggam, jadi dakwaan mengaitkan pusat data sebagai punca bekalan air adalah tidak logik.
“Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam membekalkan air terawat kepada kawasan Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam serta keseluruhan kawasan Machap di daerah Kluang, selain Tampok, Benut dan Api-Api di Pontian Utara.
“Di dalam kawasan agihan air terawat LRA Simpang Renggam tidak terdapat sebarang pusat data. Pusat data paling hampir di kawasan Perindustrian Sedenak dan ia tidak menerima bekalan air daripada LRA Simpang Renggam tetapi LRA Semangar yang sumber air mentahnya adalah dari Sungai Johor dan bukannya dari Empangan Machap,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan terus menjadikan keperluan bekalan air bersih buat semua rakyat Johor sebagai salah satu keutamaan, dimana pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat akan dilaksana secara seimbang.
Terdahulu, Pemuda PH Johor dalam satu kenyataan mendakwa gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan negeri ini disebabkan pembangunan pelbagai infrastruktur ekonomi termasuk pusat data di negeri ini. – UTUSAN










