Bekalan air di Johor pulih sepenuhnya

Bekalan air di Johor pulih sepenuhnya

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan air yang sebelum ini dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Pontian dan Kluang telah pulih sepenuhnya selepas Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kembali beroperasi pada tahap 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, walaupun begitu pihaknya akan meneruskan penghantaran bekalan air alternatif sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sebelum ini, kita berdepan situasi mencabar apabila paras Empangan Machap jatuh di bawah paras minimum dan bacaan di Sungai Ulu Benut menghampiri tahap berjaga-jaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika kemarau, air dari Empangan Machap disalurkan ke Sungai Ulu Benut bagi menampung aliran kerana sungai ini merupakan sumber air mentah utama ke loji rawatan yang membekalkan air kepada Kluang dan Pontian.

“Alhamdulillah, paras Sungai Ulu Benut mencatat bacaan normal pada 5.28 meter, melepasi paras amaran manakala paras Empangan Machap pula berada pada 14.02 meter, bersamaan paras minimum dan menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fazli, status semasa menunjukkan semua LRA di Johor kini beroperasi pada tahap 100 peratus termasuk LRA Sembrong Timur yang sebelum ini beroperasi pada kadar lebih rendah.

“Ini menandakan sistem bekalan air negeri berada dalam keadaan stabil dan terkawal. Bagaimanapun pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air kekal stabil, terjamin dan berdaya tahan untuk seluruh rakyat Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini