KUALA LUMPUR: Penggubalan rang undang-undang dasar cukai karbon kini dalam fasa akhir bagi memastikan pelaksanaan mencapai objektif ditetapkan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, undang-undang itu mengambil kira dengan penyelarasan kerangka perundangan atau dasar yang lain seperti Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) akan menjadi sebagai asas kepada dasar dan kerangka perundangan dalam melaksanakan cukai karbon.
“Pada masa ini, mekanisme cukai karbon dan jumlah kutipan cukai karbon masih belum dapat dimuktamadkan dan ianya bergantung kepada kadar cukai, nilai ambang pelepasan dan skop pelepasan yang akan diumumkan oleh Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) meminta kementerian menyatakan status terkini dan garis masa pelaksanaan Cukai Karbon dalam Belanjawan 2026.
Mengulas lanjut, katanya lagi, pengenalan cukai karbon adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.
Pada peringkat awal, katanya, pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada sektor besi, keluli dan tenaga kerana sektor-sektor ini merupakan antara penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca.
Bagaimanapun katanya lagi, penetapan kadar cukai karbon akan dilaksanakan secara berfasa agar tidak membebankan industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana di tengah ketidaktentuan pasaran ekoran konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini. – UTUSAN










