MACHANG: Sembilan sekeluarga membabitkan dua generasi dari Kampung Simpul Berlubang, di sini terpaksa memekakkan telinga apabila digelar ‘warga asing’ gara-gara tidak mempunyai sijil kelahiran dan Mykad.
Bagaimanapun, penantian selama lima hingga 44 tahun itu berakhir apabila mereka menerima dokumen pengenalan diri itu secara sah menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang sampaikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam.
Wakil keluarga berkenaan, Fauziah Mohamad, 32, berkata, ketiadaan identiti rasmi bukan sahaja menjejaskan maruah diri, malah menutup peluang buat dia dan keluarga untuk bantuan kerajaan.
“Selain itu, saya dan adik beradik lain termasuk empat anak tidak dapat bersekolah. Lebih menyedihkan lagi, kami semuanya buta huruf.
“Setiap kali demam atau sakit, kami terpaksa menanggung kos hospital yang mahal disebabkan oleh ketiadaan pengenalan diri,” katanya.
Fauziah memberitahu, Mykad itu menjadi lambang pengiktirafan sebagai warganegara yang sah selepas puluhan tahun menjalani kehidupan seperti ‘warga asing’ di tanah air sendiri. – UTUSAN










