Rekod subsidi kekal walau MyKad ditukar

Rekod subsidi kekal walau MyKad ditukar

SAIFUDDIN Nasution Ismail, beramah mesra dengan Nurul Arini Abdullah, 19, pelajar cemerlang SPM di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Rekod dan kelayakan penerima subsidi tidak akan terjejas sekiranya pemegang MyKad menukar kad pengenalan sedia ada kepada versi baharu yang akan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mulai 17 September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertukaran MyKad baharu tidak akan mengubah rekod penerima yang sedia ada, sama seperti proses menggantikan MyKad yang hilang.

“Sebagai contoh, kalau seseorang itu layak menerima 300 liter, rekod itu berdasarkan MyKad lama. Apabila tukar kepada MyKad baharu, dari sudut pendataan, semuanya kekal.

“Macam kita menggantikan MyKad yang hilang dengan kad baharu, rekodnya tetap sama,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurul Arini Abdullah, 19 di Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada kepada versi baharu yang akan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mulai 17 September ini.
Katanya, ia berikutan sebanyak 24 juta kad pengenalan telah dikeluarkan setakat ini, sekali gus menunjukkan proses penggantian MyKad baharu akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut beliau, ermohonan MyKad baharu yang dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan itu akan dibuka di 40 pejabat JPN di seluruh negara bagi fasa pertama.

“Purata pengeluaran MyKad sekarang antara 180,000 hingga 200,000 sebulan, termasuk bagi kes MyKad rosak, hilang dan permohonan baharu.

“Jadi, kita tidak mahu jumlah itu tiba-tiba melonjak kepada 500,000 hanya kerana orang ramai mahu memiliki MyKad versi baharu,” katanya.

Saifuddin berkata, MyKad sedia ada masih boleh digunakan sehingga proses penggantian dilakukan secara berperingkat.

“Jadi, sementara kita bersedia untuk mengeluarkannya bermula 17 September ini, nasihat saya jangan berpusu-pusu dahulu bagi mengelakkan kesesakan luar biasa.

“MyKad lama masih boleh digunakan sehingga kita melakukan proses penggantian secara berperingkat,” katanya.

Saifuddin berkata, hanya ratusan kes cubaan pemalsuan MyKad dikesan sepanjang tempoh 12 tahun penggunaan kad pengenalan versi sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×