Kilang dikesan bayar gaji tunai kepada PATI guna MyKad palsu, milik orang lain - Utusan Malaysia

Kilang dikesan bayar gaji tunai kepada PATI guna MyKad palsu, milik orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah kilang mencetak kad permainan di Pasir Gudang, di sini dikesan menggajikan sekumpulan pekerja asing tanpa permit sah dengan membayar gaji bulanan secara tunai, berbanding melalui akaun bank.

Perkara itu antara yang dikesan penguatkuasa semasa Ops Jejak 1.0 yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah berkata, seramai 36 orang disyaki melakukan kesalahan menggunakan kad pengenalan orang lain atau menggunakan kad pengenalan palsu untuk tujuan mendapatkan pekerjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, 28 daripada mereka adalah perempuan, manakala lapan yang lain merupakan individu lelaki dengan kewarganegaraan mereka dari Filipina dan Indonesia berusia antara 16 hingga 48 tahun.

“Salah seorang lelaki Filipina turut memberitahu dia membeli kad pengenalan palsu dengan harga RM100 daripada seorang individu lain. Selain itu ada individu lain yang mengatakan dia pinjam kad pengenalan kakaknya untuk bekerja.

“Pada masa sama, kita juga sedang memeriksa seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang hanya mempunyai kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) yang digunakan untuk pengenalan diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi berkenaan.

Tambah Sarinah, tindakan terhadap 36 individu berkenaan dibuat mengikut Seksyen 25(1)(c) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

“Dalam operasi ini, kita periksa seramai 234 individu, dimana 97 daripada mereka merupakan pekerja asing. Pada masa sama, kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mengambil tindakan terhadap premis kilang berkenaan.

“Selain itu, kita juga akan siasat ejen-ejen yang membawa masuk pekerja asing ini. Berdasarkan pemerintahan awal kita dapati terdapat dua ejen yang bertanggungjawab, dan satu daripadanya dikesan membawa masuk pekerja menggunakan kad pengenalan tidak betul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini