JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta untuk menurunkan 12 akaun TikTok serta laman web yang didapati mempromosi Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara tidak sah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tindakan tersebut diambil susulan laporan polis diterima Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, Jumaat lalu.
Katanya, antara 12 akaun tersebut, empat daripadanya didapati memalsukan wajah dan suara Khairin-Nisa menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menipu rakyat Johor.
“Siasatan mendapati kesemua akaun berkenaan menyebarkan maklumat tidak benar seolah-olah semua rakyat Johor layak menerima BKJ, dan meminta orang ramai mengisi maklumat peribadi mereka.
“Sehubungan itu, tindakan telah diambil untuk menurunkan kesemua akaun dan laman web terbabit, setakat ini kita belum terima laporan daripada mana-mana pihak yang menjadi mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, siasatan pihaknya juga mendapati kesemua akaun dan laman web terbabit dibuka dan beroperasi dari negara jiran.
“Kami percaya perkara ini merupakan salah satu aktiviti ‘phishing’ bertujuan mendapatkan maklumat peribadi sebelum seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan juga akaun bank sebelum disalahgunakan.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan penipuan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian,” katanya.
Ab. Rahaman turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah berkongsi sebarang maklumat peribadi dengan mana-mana pihak atau platform media sosial yang tidak diketahui dan dapatkan pengesahan sebelum berbuat demikian. – UTUSAN










