SAN FRANCISCO: Platform TikTok berdepan satu lagi kes saman menyebabkan timbulnya persoalan sama ada syarikat media sosial perlu bertanggungjawab atas bahaya yang dicetuskan oleh produk mereka.
Kes terbaharu itu menjadi penanda aras penting yang akan menentukan bagaimana ribuan saman berhubung ketagihan media sosial bakal diputuskan di Amerika Syarikat (AS).
Syarikat itu baru sahaja menyelesaikan satu tuntutan mahkamah dengan seorang remaja lelaki,. Ia berlaku hanya beberapa minggu sebelum TikTok dijadualkan hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes kedua di Los Angeles.
Kes itu melibatkan remaja dikenali sebagai R.K.C. Ia dijangka menjadi perbicaraan kedua di mahkamah negeri California berhubung dakwaan bahawa platform media sosial direka untuk menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak. Dakwaan itu sekali gus mencetuskan krisis kesihatan mental belia.
R.K.C., mula menggunakan media sosial ketika berusia kira-kira lapan tahun. Dia mendakwa menjadi ketagih, sehingga mengalami gangguan tidur, kemurungan dan kebimbangan, menurut dokumen mahkamah.
Pada asalnya, beliau menamakan empat defendan dalam samannya. Defendan itu ialah YouTube milik Google, Instagram milik Meta, Snapchat milik Snap Inc. dan TikTok milik ByteDance.
YouTube mencapai penyelesaian pada Jun, manakala Meta dan Snapchat dijadualkan dibicarakan bermula 27 Julai.
Menerusi siri saman yang dihadapi syarikat-syarikat ini, pihak peguam plaintif menegaskan bahawa platform media sosial sengaja direka untuk memaksimumkan penggunaan golongan muda tanpa memikirkan kesedaran implikasi negatifnya.
“Syarikat-syarikat media sosial ini telah merancang strategi bertahun-tahun untuk menarik perhatian kanak-kanak dari peringkat awal dan memaksimumkan penggunaan mereka menerusi ciri-ciri berbahaya seperti autoplay,” menurut kenyataan daripada firma guaman Morgan & Morgan. – AGENSI










