Dua individu termasuk seorang pempengaruh media sosial ditahan kerana didakwa membenarkan haiwan itu keluar dari kandangnya bagi menghasilkan kandungan untuk media sosial.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Talha, 19, mengalami kecederaan parah dalam serangan mengerikan itu di Kahna, wilayah Lahore sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Polis menahan pemilik zoo, Fayyaz dan pencipta kandungan dalam talian, Norman Hassan selepas kejadian pada Rabu lalu.
Menurut pihak berkuasa, Norman meminta harimau betina itu dilepaskan dari kandangnya di sebuah ladang pembiakan hidupan liar bagi tujuan rakaman video media sosial.
Bagaimanapun, haiwan itu tiba-tiba menerkam Talha ketika penggambaran sedang berlangsung.
Bapa mangsa dan abangnya, Hashim yang turut bekerja di ladang berkenaan menyaksikan kejadian itu.
Polis mendakwa pempengaruh TikTok berkenaan cuba menyembunyikan kejadian sebenar dengan mendakwa kecederaan mangsa berpunca daripada serangan anjing.
Namun, siasatan polis mendapati kecederaan Talha sebenarnya disebabkan serangan harimau betina berkenaan.
Haiwan itu kini diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa turut menyiasat sama ada ladang berkenaan mempunyai lesen yang diperlukan untuk memelihara haiwan liar itu.
Polis berkata, minat terhadap TikTok tidak seharusnya mengatasi nilai nyawa manusia.
“Tiada sesiapa boleh dibenarkan membahayakan nyawa manusia atas nama hobi atau hiburan.
“Percubaan menyembunyikan fakta serta segala bentuk kecuaian akan disiasat,” menurut kenyataan polis. -AGENSI











