IPOH: Seekor harimau belang betina dianggarkan seberat 94 kilogram ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Hulu Kinta, di sini Rabu lalu.
Perangkap berkenaan dipasang di sebuah kandang lembu persendirian berhampiran kawasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh susulan aduan mengenai kehadiran haiwan pemangsa itu di kawasan berkenaan.
Pengarah Perhilitan Perak, Mohd. Taufik Abdul Rahman berkata, harimau itu disedari memasuki perangkap pada pukul 12.40 tengah hari selepas perangkap berkenaan dipasang sejak 17 Julai lalu.
Menurut beliau, perangkap tersebut dipasang susulan aduan diterima daripada pemilik kandang lembu di kawasan berkenaan yang mendakwa ternakan mereka diserang harimau.
“Harimau betina yang dianggarkan berusia tidak melebihi 10 tahun itu berada dalam keadaan sihat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka.
“Harimau berkenaan akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi menangkap harimau itu turut mendapat bantuan dan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi.
Dalam pada itu, Mohd. Taufik menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan kehadiran hidupan liar kepada Perhilitan serta tidak mengambil tindakan sendiri.
“Tindakan mencederakan atau membunuh hidupan liar bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah haiwan yang cedera boleh menjadi lebih agresif dan membahayakan keselamatan manusia,” katanya. – UTUSAN










