Selangor RM3.3 bilion dalam Belanjawan 2027, hasil meningkat RM2.96 bilion - Utusan Malaysia

Selangor RM3.3 bilion dalam Belanjawan 2027, hasil meningkat RM2.96 bilion

AMIRUDIN SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan Selangor 2027 menyaksikan perbelanjaan tertinggi dengan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion berbanding RM3.23 bilion pada tahun lalu bagi usaha mengatasi cabaran perubahan iklim supaya rakyat Selangor dapat hidup secara lebih selamat tanpa dibelenggu keresahan apabila hujan mula turun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, jumlah itu merangkumi RM1.9 bilion bagi tujuan pengurusan, manakala RM1.4 bilion ditujukan untuk sektor pembangunan, dengan nisbah 57.6 peratus bagi pengurusan dan 42.4 peratus untuk menggerakkan pembangunan negeri.

“Secara keseluruhan, RM1.778 bilion dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri, anak syarikat, dan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan projek mitigasi banjir, membina dan menyelenggara loji rawatan, mengganti paip using, kesemua ini untuk mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan rizab air bagi manfaat rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat julung kalinya, peruntukan paling tinggi disalurkan bagi pembangunan prasarana awam, iaitu sebanyak RM503.1 juta bersamaan 35.94 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan,” katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi terus merancakkan ekonomi negeri di samping mendemokrasikan teknologi kecerdasan buatan, kerajaan negeri memperkenalkan AI untuk rakyat dengan menawarkan akses platform Google Enterprise kepada 50,000 warga Selangor yang disertakan dengan modul latihan.

“Selaras dengan prinsip no one will be left behind, kerajaan negeri menyedari kepentingan akses peranti digital seperti laptop bagi generasi muda supaya mereka dapat memaksimakan peluang yang terhasil melalui teknologi digital.

“Oleh itu, sebanyak 150 unit laptop di setiap kawasan DUN dengan 8,400 unit laptop seluruh negeri akan disampaikan kepada pelajar dan mahasiswa dari Selangor yang memerlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan rizab semasa Selangor berjumlah RM5.1 bilion meningkat sebanyak RM384.84 juta berbanding tahun lalu RM4.7 bilion.

Jelasnya, ia turut didorong oleh jumlah kutipan hasil yang melepasi sasaran pada tahun ini iaitu sebanyak RM2.96 bilion setakat 11 November lalu menerusi perolehan cukai sebanyak RM767 juta sementara bukan cukai pula sebanyak RM1.9 bilion dan terimaan bukan hasil dicatatkan sebanyak RM277 juta.

Selain itu tambah Amirudin lagi, bagi memperjuangkan konsep pendidikan sepanjang hayat, Kerajaan Negeri menawarkan kelas bahasa ketiga percuma kepada seluruh rakyat Selangor, baucar buku Kita Selangor RM200 kepada 2,000 pelajar dan mahasiswa, serta RM1,000 kepada RM5,000 mahasiswa yang memasuki universiti awam ataupun swasta sebagai langkah memupuk budaya membaca serta pembelajaran sepanjang hayat.

“Program NutriSEL yang menawarkan sarapan ataupun makan tengahari kepada 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Selangor bagi mengelakkan insiden malnutrisi, kekurangan zat makanan serta obesiti dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan SEL30, subsidi RM30 sebulan khusus bagi pengangkutan awam supaya menggalakkan lebih ramai warga Selangor menaiki bas dan tren, di samping membina sepanjang 35 km laluan pejalan kaki seluruh negeri agar keselesaan pengguna pengangkutan awam dapat dijamin.

“Saya berharap usaha-usaha ini dilaksanakan sepenuhnya agar rakyat daripada pelbagai latar belakang menikmati manfaat dan memposisikan Selangor sebagai negeri progresif serta membina masyarakat yang berkeyakinan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini