KUALA LUMPUR: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan disifatkan mampu menjadi pembakar semangat buat skuad sepak takraw negara dalam menghadapi cabaran Sukan SEA 2027 di laman sendiri.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, keputusan itu hadir pada waktu tepat ketika pasukan kebangsaan sedang membina momentum menjelang temasya dwitahunan berkenaan.
Menurutnya, pengiktirafan lebih adil terhadap sumbangan setiap pemain mampu meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberikan komitmen terbaik kepada negara.
“Dalam sepak takraw, setiap pemain di gelanggang dan di bangku simpanan berlatih serta berkorban sama banyak, justeru langkah ini memastikan setiap daripada mereka dihargai secara adil.
“Ia datang tepat pada masanya ketika kita sedang membina momentum menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.
Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengumumkan kenaikan ganjaran SHAKAM bagi pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel sebanyak 166.67 peratus, daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.
Ganjaran bagi pemenang pingat perak turut meningkat daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pemenang gangsa bakal menerima RM10,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.
Pelarasan itu merupakan kenaikan pertama kadar ganjaran bagi acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun sejak kadar berkenaan ditetapkan pada 2002.
Skuad sepak takraw negara sebelum ini mencipta kejayaan besar apabila menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September lalu, selain turut membawa pulang pingat perak regu lelaki.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan dengan Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor menjadi empat kluster penganjuran. – UTUSAN











