Emas sama, mengapa ganjaran berbeza?

Emas sama, mengapa ganjaran berbeza?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menanti selama 36 tahun untuk melihat skuad sepak takraw negara kembali meraih emas berpasukan di Sukan Asia, tekong utama negara, Syahir Rosdi, meluahkan rasa terkilan apabila kejayaan bersejarah itu hanya dihargai dengan ganjaran RM15,000 seorang.

Lebih mengecewakan, jumlah berkenaan jauh berbeza berbanding RM80,000 yang diterima pemenang pingat emas acara individu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sekali gus mencetuskan persoalan mengenai jurang penghargaan terhadap kejayaan atlet negara.

Luahan Syahir menerusi media sosial itu turut mendapat perhatian rakan seperjuangannya apabila beberapa pemain lain, termasuk Sobey, Azlan Alias dan Aidil Aiman, turut memberikan reaksi senada berhubung perbezaan nilai ganjaran berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi itu menggambarkan rasa terkilan dalam kalangan pemain yang berasakan pengorbanan, tekanan dan usaha untuk mengharumkan nama negara seharusnya turut mendapat penghargaan setimpal tanpa mengira kategori acara.

“Ya Allah, nak menangis rasa tapi sebagai atlet terpaksa telan. Penantian emas Sukan Asia berpasukan 36 tahun mendapat RM15,000 seorang daripada penyerahan insentif SHAKAM, manakala untuk emas sukan individu RM80,000 seorang.

“Pengorbanan dan tekanan yang sama dihadapi. Pingat emas yang diraih juga sama untuk dibanggakan,” katanya.

Bagaimanapun, Syahir tidak membiarkan kekecewaan itu menenggelamkan penghargaan terhadap pihak yang selama ini menyokong perjuangan skuad negara.

Sebaliknya, beliau tetap menghargai sokongan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terhadap pemain, selain mengiktiraf pengorbanan rakan sepasukan yang bersama-sama mencurahkan tenaga dan keringat untuk merealisasikan kejayaan bersejarah itu.

Malah, tekong berkenaan menegaskan perbezaan nilai insentif berkenaan tidak akan memadamkan tekad pemain untuk terus mempertingkatkan prestasi dan mengangkat martabat sepak takraw negara.

“Walau apa pun yang terjadi, kami sebagai pemain akan terus berusaha untuk tetap menjaga nama baik sukan ini dan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Tiada apa yang dapat menghalang kami untuk berputus asa menaikkan sukan sepak takraw di Malaysia. Keranamu Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini