IOI Corp dijangka peroleh purata pendapatan tahunan hingga RM16 juta - Utusan Malaysia

IOI Corp dijangka peroleh purata pendapatan tahunan hingga RM16 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Corporation Bhd (IOI Corp) dijangka memperoleh purata pendapatan tahunan antara RM14 juta hingga RM16 juta menerusi penyertaan sulungnya dalam projek tenaga solar berkapasiti 500MWac di bawah mekanisme Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS). 

MBSB research berkata, projek usaha sama (JV) itu dilihat sebagai langkah strategik IO| Corp untuk mempelbagaikan sumber pendapatan berulang kumpulan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap sektor perladangan yang menjadi perniagaan terasnya.

Firma itu mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham IOI Corp dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM4.42, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2027 sebanyak 21.6 kali dan perolehan sesaham (EPS) 20.5 sen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 3 November 2026, anak syarikat milik penuh IOl Corp, Luminous Aspect, memperoleh pegangan sebanyak 25% dalam Bahau Energy Ventures.

“TNB Renewables (Tre) memegang kepentingan sebanyak 70 peratus, manakala baki 5 peratus dimiliki CSP500MW, sebuah konsortium perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bahau Energy bertindak sebagai Pemaju Tenaga Boleh Baharu (RED) yang bertanggungjawab membangunkan loji solar berkapasiti 500MWac, disokong sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 250MW/1,000MWh.

“Projek itu akan membekalkan tenaga elektrik boleh baharu kepada DayOne Data Centres yang berpangkalan di Singapura menerusi mekanisme CRESS, berdasarkan perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun, “ katanya dalam nota penyelidikan. 

Selain itu, Bahau Energy dijangka memuktamadkan perjanjian berkaitan di bawah program CRESS menjelang separuh pertama 2027, sebelum memulakan operasi komersial pada 2029.

Walaupun butiran lanjut masih terhad, perbelanjaan modal projek itu dianggarkan berpotensi mencecah RM2 bilion, bersamaan kira-kira RM4 juta bagi setiap MWac.

Berdasarkan pulangan dalaman ekuiti (IRR) sebanyak 8 peratus hingga 9 peratus seperti dipandu pihak pengurusan, dengan andaian pembiayaan hutang kepada ekuiti pada nisbah 80:20 serta kos pinjaman 4.3 peratus anggaran awal menunjukkan Bahau Energy berpotensi menjana purata pendapatan tahunan antara RM20 juta hingga RM30 juta.

Dengan mengambil kira pendapatan sewaan tanah dan hasil daripada pembiayaan pemegang saham, IOl Corp dianggarkan memperoleh purata pendapatan tahunan antara RM14 juta hingga RM16 juta sepanjang tempoh 21 tahun bermula tahun kewangan 2029.

IRR ekuiti yang dipandu pihak pengurusan itu hanya mengambil kira pelaburan dalam projek solar, manakala pendapatan sewaan tanah merupakan sumber pendapatan berasingan.

Dari sudut strategik, penyertaan dalam Bahau Energy membolehkan IOI Corp mengekalkan pemilikan tanahnya sambil menjana pendapatan menerusi pajakan tanah seluas 526.09 hektar serta bahagian keuntungan daripada perniagaan solar.

Kerjasama dengan TNB turut memberikan kelebihan menerusi pengalaman syarikat utiliti itu dalam pembangunan dan pengendalian projek, manakala perjanjian pembelian tenaga jangka panjang menyediakan asas kepada aliran pendapatan berulang kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini