PETALING JAYA: Doktor gigi didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian serta membenarkannya menjalankan rawatan di klinik miliknya, dua tahun lalu.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Dr Tong Soo Huan, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS).
Mahkamah memerintahkan hukuman denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan OKS dipenjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Dr Tong didakwa menggaji individu yang bukan pengamal pergigian berdaftar mengikut Akta Pergigian 2018 di sebuah klinik pergigian di Jalan SS21/1, di sini, pada 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Wanita itu turut didakwa membenarkan individu tidak berdaftar mengikut akta sama menjalankan amalan pergigian di klinik miliknya pada masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018 yang membawa hukuman sama.
Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Haznita Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda tinggi bagi kedua-dua pertuduhan atas faktor kepentingan awam dan keselamatan pesakit.
Katanya, kesalahan itu bersifat ‘strict liability’ yang menyentuh integriti profesion pergigian.
“OKS bukan sahaja gagal memastikan pengamal pergigian berdaftar bertugas sepanjang waktu operasi klinik, malah dengan sengaja mengarah dan membenarkan kakitangan klinik yang hanya berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalankan amalan pergigian iaitu imbasan intraoral menggunakan alat peranti perubatan khas di premis milik OKS.
“Prosedur imbasan mulut menggunakan alat imbasan intraoral (iTero Element) memerlukan pengendalian berpengetahuan tinggi.
“Berdasarkan keterangan Medical Device Authority, alat berkenaan hanya boleh dikendalikan pengamal perubatan atau pergigian berkelayakan,” katanya.
Dr Haznita berkata, hukuman yang dijatuhkan perlu memberi mesej dan pengajaran tegas kepada OKS serta komuniti pengamal pergigian di Malaysia supaya tidak mengambil jalan pintas mengurangkan kos atau mengabaikan undang-undang dengan menyerahkan tugasan klinikal kepada kakitangan tidak mempunyai kelayakan ikhtisas.
Sementara itu, peguam mewakili Dr Tong, Rejinder Singh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod kesalahan mengikut Akta Pergigian 2018.
“Kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan teknikal dan tiada unsur jenayah kerana ketika kejadian, seorang pesakit datang mendapatkan rawatan ketika Dr Tong sedang keluar makan.
“Bagaimanapun, OKS sedar mengenai tindakannya dan kesal kerana tidak lebih berwaspada dalam mengawal kakitangan klinik dan berjanji memastikan sistem kawalan lebih ketat selepas ini,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di klinik milik Dr Tong dan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi seorang pesakit menggunakan peralatan pengimbas gigi intraoral iTero Element pada pada 6 Mei 2024.
Pemeriksaan mendapati kakitangan berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) sebagai pengamal pergigian, manakala Dr Tong gagal mengemukakan sijil pengamalan tahunan kakitangan itu apabila diminta pegawai penguat kuasa.
Siasatan mendapati Dr Tong menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dan membenarkannya menjalankan amalan pergigian di klinik berkenaan, sekali gus melanggar Seksyen 68 dan Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018.











