PETALING JAYA: UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah kutipan dana yang dilancarkan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencapai sasaran ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya turut menyelesaikan segala proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut beliau, tabung berkenaan yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah memperoleh jumlah sumbangan mencukupi hasil kutipan daripada ahli UMNO dan orang ramai.
“UMNO ingin mengumumkan bahawa jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun mencapai sasaran dan mencukupi.
“UMNO telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Asyraf berkata, tiada lagi keperluan untuk meneruskan kutipan dana awam (crowdfunding) bagi tujuan berkenaan.
“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO dan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan sejak tabung berkenaan dilancarkan.
“UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya. – UTUSAN











