GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa fenomena cuaca El Nino dijangka berterusan dan semakin memuncak menjelang Disember, sekali gus berpotensi menjadi antara yang terkuat pernah direkodkan sejak sekurang-kurangnya tahun 1950.
Agensi cuaca dan iklim PBB mengesahkan bahawa fenomena semula jadi itu bakal membawa peningkatan suhu ketara di sebahagian besar kawasan planet ini, selain memburukkan lagi kesan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.
“El Nino akan terus meningkat sebelum melepasi tahap kemuncaknya yang diramalkan pada Disember,” kata Agensi Meteorologi Sedunia (WMO) menerusi Buletin Iklim Musim Global bulanannya.
“Ia berkemungkinan membawa suhu melebihi purata ke kebanyakan kawasan di seluruh dunia dan merubah corak taburan hujan, sekali gus meningkatkan risiko kemarau serta banjir di pelbagai wilayah,” tambahnya.
Fenomena El Nino memanaskan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik Khatulistiwa, seterusnya mencetuskan pergerakan angin, tekanan udara serta taburan hujan secara global.
Fenomena terbabit lazimnya berlaku sekali dalam tempoh dua hingga tujuh tahun dan boleh berlarutan dalam jangkamasa antara sembilan hingga 12 bulan.
Kitaran cuaca berkenaan biasanya beredar antara fenomena El Nino dan pasangannya La Nina, dengan fasa neutral di antara kedua-dua keadaan berkenaan.
“Suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Pasifik Tropika diramalkan meningkat ke tahap rekod sepanjang Oktober-November-Disember 2026, mencerminkan pengukuhan peristiwa El Nino yang bakal memacu corak cuaca selain memberi impak kepada ekonomi, ekosistem serta komuniti di seluruh dunia,” menurut kenyataan WMO.
Ramalan iklim terbaharu berkenaan dibuat berdasarkan konsensus bersama daripada 13 pusat meteorologi kebangsaan dan antarabangsa terkemuka dunia.
“El Nino kini kukuh terbentuk dan berkembang dengan pantas. Ramalan WMO menunjukkan kebarangkalian hampir 100 peratus ia akan berterusan sehingga Februari 2027 dan berpotensi menjadi antara yang terkuat sejak sekurang-kurangnya 1950,” kata Ketua WMO, Celeste Saulo.
Saulo turut menjelaskan bahawa El Nino tidak menambah haba baharu kepada planet ini sebaliknya membebaskan tenaga haba yang telah lama tersimpan di dalam lautan.
“Lautan yang diserap habanya ini merupakan lautan terpanas yang pernah kami ukur. Secara mudahnya, terdapat lebih banyak haba yang sedia untuk dibebaskan,” kata beliau. – AGENSI











