PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu sidang akhbar mengumumkan hari mengundi awal bagi PRN Sarawak pula akan diadakan pada 8 Disember .
Sementara itu katanya, bagi tarikh penamaan calon pula akan diadakan pada 28 November ini.
Pada 23 Oktober lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.
Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
Mandat semasa DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi itu sepatutnya berakhir pada Februari 2027.
Pada PRN ke-12 yang diadakan pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari meraih mandat besar selepas menyapu 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP memperoleh dua kerusi.
Landskap politik negeri bagaimanapun menyaksikan perubahan selepas pembubaran PSB pada 2024, yang menyaksikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu satu daripada komponen GPS.
Sementara itu, seorang lagi bekas ADUN PSB See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.-UTUSAN











