KUALA LUMPUR: Kerajaan Myanmar akan menerima pulang 5,000 tahanan warganegaranya dari Malaysia secara berperingkat pada tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fasa pertama penghantaran pulang itu dilaksanakan pada 29 September lalu melibatkan seramai 1,476 tahanan.
Katanya, tahanan terbabit telah selesai melalui proses pengenalpastian, verifikasi dan dokumentasi yang diperlukan sebelum dihantar pulang ke negara asal.
“Kerajaan Madani melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Myanmar.
“Rundingan itu bagi menyelaras proses pengesahan, dokumentasi dan penerimaan individu yang akan dihantar pulang serta menentukan pelaksanaan fasa-fasa berikutnya berdasarkan kesiapsiagaan kedua-dua negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berhubung sasaran penghantaran pulang pelarian Myanmar secara berperingkat bagi 2026 dan 2027.
Saifuddin berkata, penghantaran pulang memerlukan pengesahan kewarganegaraan serta penerimaan semula individu oleh negara asal menjadikan kerjasama dengan kerajaan Myanmar penting bagi memastikan proses itu dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
“KDN terus memperkukuh pengurusan warga asing di negara ini termasuk melalui tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang secara teratur terhadap warga asing yang tidak memenuhi keperluan atau syarat imigresen untuk berada di Malaysia.
“Kerajaan akan memastikan setiap proses penghantaran pulang dilaksanakan secara selamat, teratur dan bertanggungjawab dengan mengambil kira kebajikan serta hak individu terlibat, berlandaskan undang-undang serta kedaulatan negara,” katanya. -UTUSAN











