KUALA TERENGGANU: Semua agensi kerajaan, syarikat swasta dan organisasi disaran melaksanakan audit keselamatan siber secara berkala bagi memastikan sistem digital masing-masing tidak mudah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu penting susulan perkembangan konflik dan peperangan di luar negara yang berpotensi memberi kesan terhadap ancaman keselamatan siber termasuk kepada negara ini.
Katanya, setiap organisasi perlu memastikan sistem keselamatan digital yang digunakan mempunyai perlindungan mencukupi termasuk penggunaan tembok api bagi mengelakkan pencerobohan penggodam.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga diminta membantu agensi kerajaan melaksanakan audit keselamatan siber bagi mengenal pasti kelemahan sistem masing-masing.
“Audit keselamatan siber ini sangat penting bukan sahaja untuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, malah semua pihak termasuk syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan.
“Setiap organisasi yang banyak menggunakan internet serta menyimpan data secara dalam talian perlu menyediakan peruntukan khusus bagi memastikan keselamatan sistem mereka terjamin,” katanya selepas mengadakan lawatan ziarah dan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih Hawana kepada bekas jurufoto Utusan Malaysia, Mohd. Azlan Baharum di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini.
Nie Ching berkata, keperluan melaksanakan audit keselamatan siber juga melibatkan infrastruktur kritikal negara seperti hospital dan sistem perbankan yang menyimpan pelbagai maklumat penting.
Katanya, insiden sistem digital pihak berkuasa tempatan yang pernah digodam sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan siber.
“Kadangkala kita sanggup memperuntukkan bajet untuk melanggan pelbagai program kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan awan tetapi terlupa menyediakan peruntukan mencukupi untuk keselamatan siber.
“Saya berharap semua pihak mengambil iktibar daripada amaran ini dan mula melihat keselamatan siber sebagai satu keperluan penting, bukannya perbelanjaan sampingan,” katanya. – UTUSAN











