Eurovision bukan mencari orang yang paling bagus menyanyi – M. Nasir - Utusan Malaysia

Eurovision bukan mencari orang yang paling bagus menyanyi – M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir berpandangan memiliki vokal yang hebat semata-mata bukanlah jaminan untuk seseorang penyanyi menyerlah dalam pertandingan antarabangsa seperti Eurovision.

Menurut M. Nasir, pertandingan berprestij itu lebih mengutamakan kriteria lagu dan persembahan yang mampu memikat perhatian penonton berbanding hanya menilai kehebatan vokal seseorang penyanyi.

“Sebenarnya, kita tidak faham apa yang Eurovision mahukan. Mereka bukan mencari orang yang paling bagus menyanyi. Mereka mahukan persembahan yang memikat. Lagu yang memikat, persembahan yang memikat. Itu sebenarnya yang mereka mahukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kita, mungkin sesuatu persembahan itu sudah cukup bagus, tetapi daripada pandangan antarabangsa, penilaiannya berbeza,” katanya.

M. Nasir berkata demikian susulan penyertaan wakil Malaysia dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 serta kemampuan penyanyi tempatan bersaing di pentas antarabangsa, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu menyifatkan industri muzik tempatan perlu memahami kehendak sesebuah pertandingan sebelum menghantar wakil negara bertanding terutamanya dari segi pemilihan lagu, konsep persembahan dan kesesuaian artis.

“Kalau kita mahu pergi ke sana, kita mesti tahu apa sebenarnya Eurovision itu. Lagu bagaimana yang mereka mahukan, persembahan bagaimana dan artis seperti apa yang mereka cari.

“Bukan kita boleh sesuka hati menghantar wakil berdasarkan apa yang kita sendiri rasa bagus. Kita perlu memahami apa sebenarnya yang mereka mahukan,” jelasnya.

Mengikuti perkembangan Eurovision sejak zaman kegemilangan kumpulan antarabangsa, ABBA, penyanyi itu mengakui industri muzik Malaysia masih belum mencapai tahap yang diharapkan di persada antarabangsa.

Malah, dia berpandangan mengetengahkan identiti muzik tradisional Malaysia tidak semestinya menjamin kejayaan sekiranya lagu yang dipersembahkan gagal meninggalkan kesan kepada pendengar.

“Tidak semestinya. Pusing-pusing pun, akhirnya kita tetap perlu menghasilkan lagu yang memikat. Lagu yang memikat. Itu yang penting.

“Industri muzik kita masih belum mencapai satu tahap yang tinggi, terutama di peringkat antarabangsa. Memang ada kejayaan sekali-sekala, tetapi kita masih belum benar-benar berjaya pergi ke peringkat antarabangsa.

“Dahulu, kita juga pernah menyertai pertandingan Yamaha World Song Festival, tetapi tidak pernah mendapat pencapaian yang besar. Jadi, kita perlu tahu apa sebenarnya kehendak dunia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal mengadakan sebuah konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Kelima di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 5 Disember ini.

Konsert dokumentari muzikal yang bakal diiringi Okestra Simfoni Kebangsaan (OSK) itu bakal dimeriahkan oleh barisan penyanyi tanah air seperti Ernie Zakri, Hazama, Luca Sickta, Kmy Kmo, Pitahati, Pie Ramayan dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini