KUALA LUMPUR: Enam lagi kolam takungan air hujan dirancang dibina pada 2027, termasuk di Padang Bola Brickfields dan Jalan Jinjang Utara Fasa 2, bagi mengurangkan risiko banjir kilat di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, empat lagi lokasi yang dikenal pasti ialah Masjid Ubudiah, Jalan Kiara 8, Jalan Kiara 3 dan Jalan Kelapa Muda.
Katanya, kemudahan takungan air di tapak (OSD) itu menampung air hujan buat sementara waktu sebelum dilepaskan secara terkawal ke dalam sistem perparitan.
“Sembilan kemudahan OSD sudah siap dibina, termasuk di kawasan padang awam.
“Bahagian bawah tanahnya digunakan sebagai kolam takungan manakala permukaannya kekal boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 90 peratus permukaan di Lembah Klang ditutupi bangunan dan jalan raya, menyebabkan air hujan sukar meresap ke dalam tanah.
Keadaan itu menyebabkan lebih banyak air hujan mengalir terus ke longkang dan sungai, sekali gus meningkatkan risiko limpahan dan banjir kilat.
Mengulas lanjut, Fadlun berkata, enam kemudahan sedang dibina di Padang Merbok, Kampung Pasir, Jalan Jinjang Aman 2, Jalan Ledang, Kampung Periuk dan Menara PJD.
Selain itu, beliau berkata, sembilan kemudahan yang sudah siap pula terletak di Universiti Malaya, Segambut Bahagia, Taman United, Bukit Tunku, Tayton View, SPPK Segambut, Taman Yarl, Taman Sentosa dan Taman Botani.
Selain membina kolam takungan, Fadlun berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memantau lebih 65 kemudahan seumpamanya yang dibangunkan pemaju swasta.
“Kita juga sudah membina tembok penahan banjir sepanjang 1.3 kilometer dan kerja-kerja ini akan diteruskan pada 2027 bagi membolehkan sungai menampung jumlah air yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN











