SHAH ALAM: Walaupun baru memasuki 12 hari dalam bulan November namun Kampung Melayu Subang di sini sudah empat kali dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan penduduk di sekitar kawasan terbabit buntu selain terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan rumah dan harta benda.
Lebih membimbangkan, penduduk di Jalan Resak dan Jalan Merbau mendakwa pembangunan pesat di sekitar kawasan berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah banjir apabila sungai berhampiran didakwa gagal menampung aliran air hujan.
Mereka turut mempersoalkan keberkesanan sistem saliran sedia ada, selain mendakwa terdapat projek pembangunan yang menggunakan laluan saliran melalui kawasan kediaman berkenaan.
Tinjauan di lokasi mendapati kebanyakan kediaman yang terjejas di Jalan Resak dan Jalan Merbau terletak dalam lingkungan 10 hingga 100 meter dari sungai berhampiran.
Malah, terdapat rumah yang masih digenangi air walaupun keadaan banjir di kawasan berkenaan dilaporkan semakin pulih.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Abdul, 69, berkata, kediamannya sudah beberapa kali dilanda banjir teruk, khususnya pada Februari, September dan November tahun ini.
Menurutnya, kediamannya yang terletak di kawasan rendah menyebabkan rumahnya sering mengalami banjir dengan air mencecah paras dada setiap kali kejadian berlaku.
“Kerugian memang banyak, tetapi perkara yang lebih memenatkan adalah kami terpaksa hadap keadaan sama setiap kali banjir berlaku. Tahun ini sahaja sudah enam kali banjir.
“Kalau di luar rumah mungkin cepat dibersihkan, tetapi apabila air sudah masuk ke dalam rumah, kerja pembersihan mengambil masa yang lama. Kami tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul yang menetap di kawasan itu sejak 1998 mendakwa pembangunan pesat serta sistem saliran sedia ada menjadi antara faktor menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah dengan lebih cepat.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding dahulu apabila hujan dalam tempoh singkat kini sudah cukup untuk menyebabkan sungai melimpah.
“Dahulu, kalau hujan separuh hari barulah air sungai naik, tetapi sekarang hujan tidak sampai sejam pun air sudah melimpah,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkaitan segera mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir berulang yang semakin membimbangkan, terutama menjelang musim monsun.
Seorang lagi penduduk, Syafiq Hasmiza, 31, berkata, kejadian banjir yang berlaku sejak 2 November lalu dan berulang pada hari ini menyebabkan dia sekeluarga semakin bimbang setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, air mula memasuki rumah mereka kira-kira pukul 8 pagi dan hanya mengambil masa sekitar 10 minit untuk meningkat sehingga memasuki kediaman.
“Kami sudah penat, ini sudah kali keempat pada bulan ini. Selepas air surut, kami perlu mengambil masa hampir sehari untuk membersihkan rumah.
“Kerugian akibat kerosakan motosikal, kereta dan barangan lain dianggarkan mencecah RM30,000 termasuk kos pembaikan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Rosidah, 65, mendakwa keadaan banjir di kawasan itu semakin membimbangkan sejak beberapa projek pembangunan dilaksanakan di sekitarnya.
Katanya, sepanjang hampir 40 tahun menetap di kawasan itu, keadaan banjir yang berlaku tahun ini antara paling teruk pernah dialaminya.
“Hampir 40 tahun saya tinggal di sini, ini antara tahun paling teruk. Saya pun tak tahu apa punca dan apa penyelesaian kepada masalah banjir di sini,” katanya. – UTUSAN









