PETALING JAYA: Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), destinasi golf dan gaya hidup utama milik Tropicana Corporation Berhad (Tropicana), mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tujuh anugerah dan pengiktirafan industri sepanjang 2026.
Pengiktirafan itu merangkumi pelbagai bidang termasuk golf, hospitaliti, sajian makanan, rekreasi keluarga dan kelestarian, sekali gus mengukuhkan reputasi TGCR sebagai destinasi pilihan ahli, pengunjung serta komuniti setempat.
Terbaharu, TGCR menerima dua pengiktirafan berprestij pada majlis HAPA Awards 2026 Siri 3 yang berlangsung pada 28 Oktober lalu.
Resort itu memenangi anugerah HAPA Top Tourism Destinations & Tourist Attractions Award bagi kategori Kelab Golf, manakala Pengarah Eksekutifnya, Shahril Abdul Salam, menerima anugerah HAPA Top Director of the Year.
Kejayaan berganda itu mengiktiraf kedudukan TGCR sebagai destinasi pelancongan dan gaya hidup, selain kepimpinan yang menjadi pemacu kepada perkembangan serta pertumbuhan resort berkenaan.
Shahril, yang juga Pengarah Eksekutif – Pengurusan Resort Tropicana Golf & Country Resort, berkata tujuh anugerah dan pengiktirafan itu merupakan penghormatan besar serta bukti komitmen, dedikasi dan kesungguhan seluruh warga kerja TGCR.
Menurutnya, pengiktirafan terbaharu menerusi HAPA Awards amat bermakna kerana bukan sahaja mengiktiraf sumbangan TGCR sebagai destinasi pelancongan, malah kepimpinan yang terus memacu kemajuan organisasi itu.
“Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada kami untuk terus meningkatkan standard melalui penambahbaikan kemudahan, perkhidmatan dan inisiatif kelestarian bagi menyediakan pengalaman bermakna serta menetapkan piawaian lebih tinggi dalam sektor golf, hospitaliti dan gaya hidup,” katanya.
Terdahulu, TGCR turut menerima anugerah BrandLaureate Lifestyle BestBrands Awards 2026 bagi kategori Excellence in Leisure – Luxury Golf & Lifestyle Resort pada 30 Julai lalu.
Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukan TGCR sebagai antara destinasi golf dan gaya hidup terkemuka di Malaysia. Malah, TGCR merupakan satu-satunya kelab golf di Malaysia yang menerima anugerah pada majlis BrandLaureate Lifestyle BestBrands Awards tahun ini.
Pada 8 Ogos lalu, resort itu sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri apabila meraih tiga pengiktirafan menerusi Tourism Industry Awards 2026 (TIA26).
Tiga anugerah berkenaan ialah Best Golf Lifestyle Restaurant bagi Twenty7 Restaurant, Best Family Oriented Golf Club dan Best ESG Excellence Award for Golf Club.
Lebih membanggakan, anugerah Best ESG Excellence Award for Golf Club diperkenalkan buat pertama kali pada TIA26 dan TGCR dipilih sebagai penerima sulung pengiktirafan berkenaan.
Komitmen resort itu terhadap pengurusan yang bertanggungjawab turut mendapat pengiktirafan pada 21 Ogos lalu apabila TGCR menerima Sayangi Malaysia Sustainable Tourism Certificate selepas memenuhi Kriteria Kecemerlangan Organisasi bagi Penginapan Pelancongan Mampan (Versi 1/2026).
TGCR juga merupakan satu-satunya resort golf di Malaysia yang menerima pensijilan berkenaan pada 2026, mencerminkan komitmennya terhadap amalan kelestarian serta usaha membangunkan destinasi yang lebih baik untuk ahli, pengunjung, komuniti sekitar dan generasi akan datang.
Selain tujuh anugerah dan pengiktirafan tersebut, TGCR turut menerima pencalonan bagi dua kategori antarabangsa menerusi World Golf Awards 2026, iaitu Malaysia’s Best Golf Course 2026 dan World’s Best Golf Clubhouse 2026.
Pencalonan itu mencerminkan aspirasi TGCR untuk terus memperkukuh reputasinya dalam industri golf dan hospitaliti di peringkat antarabangsa.
Secara keseluruhannya, pencapaian tujuh anugerah dan pengiktirafan itu menjadi satu lagi mercu tanda penting bagi TGCR, hasil usaha kolektif seluruh pasukannya serta komitmen berterusan untuk meningkatkan kemudahan, perkhidmatan dan pengalaman pengunjung.
Melangkah ke hadapan, TGCR akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan pengalaman berkualiti, memperkasakan agenda kelestarian serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada ahli, pengunjung dan komuniti setempat.











