KUCHING: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan memiliki senjata dan bahan letupan tanpa alasan yang sah dan menyebabkan kecederaan terhadap gurunya pada Oktober lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pelajar lelaki berusia 16 tahun itu mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membawa sebilah kapak kecil sebagai senjata berbahaya, memiliki bahan letupan, iaitu mercun dan bekas minuman yang diubah suai serta mengandungi bahan letupan dan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah sekolah antarabangsa di Jalan Kuching-Samarahan pada kira-kira 7.50 pagi, 21 Oktober lalu.
Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun di bawah Seksyen 7(1)(a) akta sama.
Bagi kesalahan memiliki bahan letupan, pelajar terbabit dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Majistret Leona Dominic Mojiliu kemudian memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri dan menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Abdurrahman Abrar Jarni, manakala remaja itu diwakili peguam Wejok Tomik.
Sebelum ini, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Saifullizan Ishak berkata polis merakam percakapan 38 saksi, terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa pelajar, bagi membantu siasatan. – BERNAMA











