PETALING JAYA: Seramai 360 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersiap siaga untuk menyelaras operasi dan membersihkan saliran tersumbat ketika hujan lebat bagi mengurangkan risiko banjir kilat di ibu negara.
DBKL berkata, penyelenggaraan sistem perparitan yang biasanya dilakukan setiap tiga bulan ditingkatkan kepada setiap dua bulan sepanjang musim monsun.
Katanya, kerja membuang mendapan turut dilakukan setiap tiga bulan di 13 kolam takungan, manakala penyelenggaraan sistem perparitan dan kolam takungan masing-masing disokong tujuh dan 12 kontraktor.
“Bukaan saliran di tepi jalan juga diubah suai supaya air hujan mengalir lebih cepat ke sistem perparitan dan mengurangkan takungan di permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DBKL, pihaknya telah menyediakan pam berkapasiti 180 kuasa kuda di 10 lokasi di kawasan rendah. Pam berkenaan diselenggara secara berkala.
“Sementara itu, sembilan Kolam Takungan Setempat (OSD) telah disediakan, enam sedang dibina dan enam lagi dirancang pada 2027.
“OSD menampung air hujan sebelum dilepaskan secara terkawal ke sistem saliran,” katanya.
Menurut DBKL, lebih 65 OSD di kawasan pembangunan swasta turut dipantau, manakala tembok penghadang banjir sepanjang 1.3 kilometer telah siap dibina bagi mengurangkan limpahan air di kawasan berisiko.
“Ketika hujan lebat, maklumat insiden daripada 11 pengurus kawasan Parlimen disalurkan terus kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi mempercepat penyelarasan tindakan di lapangan,” katanya. – UTUSAN










