Menurut IRGC, kapal berkenaan adalah antara dua kapal tangki yang terkena periuk api ketika melalui laluan perdagangan penting itu. Bagaimanapun, insiden berkenaan belum disahkan secara bebas.
“Dalam tempoh beberapa jam lalu, dua kapal tangki minyak yang menggunakan laluan tidak dibenarkan di bahagian selatan Selat Hormuz terkena periuk api laut, mengakibatkan letupan besar dan kebakaran.
“Salah sebuah kapal itu, sebuah kapal tangki minyak gergasi yang membawa lebih dua juta tong minyak mentah, tenggelam di perairan selatan Teluk Parsi,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, IRGC tidak mendedahkan nama atau negara asal kedua-dua kapal tangki berkenaan.
Sejak perang di Asia Barat tercetus pada akhir Februari lalu, Teheran mengetatkan sekatan terhadap trafik perkapalan melalui laluan strategik itu dengan mengarahkan kapal menggunakan laluan yang dibenarkan Iran.
Iran juga berulang kali menyasarkan kapal yang melalui selat berkenaan tanpa kebenarannya.
Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran dan membantu kapal tangki minyak melalui selat berkenaan, yang lazimnya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Tentera AS baru-baru ini mendakwa berjaya membersihkan semua periuk api di laluan utama perairan itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Teheran beberapa kali mengumumkan insiden kebakaran kapal di selat berkenaan dan sering mendakwa ia berpunca daripada letupan periuk api.
Markas Pusat AS (CENTCOM) yang menyelia operasi ketenteraan negara itu di rantau berkenaan berkata, pihaknya membantu kapal melalui laluan perairan itu.
Bulan lalu, CENTCOM memaklumkan pihaknya membantu negara-negara Teluk mengeksport 1.5 bilion tong minyak melalui Selat Hormuz sejak musim panas.
Sementara itu, pusat pemantauan maritim Britain pada Ahad berkata, pihaknya mengetahui laporan pihak berkuasa perkapalan India mengenai serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak di Teluk, namun belum dapat dipastikan sama ada insiden itu sama seperti yang diumumkan IRGC.
Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, tahap kerosakan kapal dan kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui, namun semua anak kapal dilaporkan selamat.-AFP











