KUALA LUMPUR – Penyanyi Julia Duclos tampil dengan single terbaharu berjudul Faham yang mengangkat tema pengalaman disalahertikan, kehilangan dan perjalanan mengenali diri sendiri.
Lagu yang menggabungkan elemen pop-rock awal 2000-an dengan sentuhan produksi moden itu mengetengahkan realiti seseorang yang sering dinilai berdasarkan pandangan orang lain tanpa memahami kisah sebenar di sebalik kehidupannya.
Julia berkata, inspirasi lagu berkenaan tercetus daripada pengalaman berasa tidak difahami serta sikap segelintir individu yang mudah membuat penilaian tanpa mengenali seseorang secara peribadi.
Menurutnya, pemilihan judul Faham dibuat bersama rakan penulisnya, Hezza-Ezzickry Helmy dan Wan Arif Iskandar, kerana perkataam itu ringkas, dekat dengan kehidupan seharian serta membawa mesej tentang keinginan untuk difahami.
Lagu berkenaan diterbitkan oleh Joseph Chua dan JOEK, dengan mesej yang turut menyentuh kepentingan kesendirian sebagai ruang untuk mencari ketenangan, menetapkan batas dalam hubungan dan menerima kelemahan diri.
Menerusi Faham, Julia berharap lagu itu dapat memberikan kekuatan kepada pendengar ynag melalui saat sukar, selain mengingatkan mereka supaya tidak terlalu terpengaruh dengan pandangan orang lain dan terus jujur terhadap diri sendiri. Single berkenaan mula boleh didengarkan di semua platform penstriman utama sejak 13 November lalu.











