TikTok perlu perketat semakan umur

TikTok perlu perketat semakan umur

FAHMI Fadzil pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok dengan PDRM, MCMC dan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform media sosial, TikTok diarah memberi perhatian serius terhadap sistem pengesahan umur berikutan mekanisme sedia ada dilihat gagal membendung kehadiran pengguna di bawah usia 13 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, an­tara permasalahan dikesan di­lakukan platform media sosial termasuk TikTok, melibatkan pengguna kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang me­langgar garis panduan komuniti platform.

Justeru TikTok digesa memuktamadkan satu mekanisme bagi pengesahan umur pengguna.

“Dalam lawatan ke sekolah saya dapati anak-anak seawal tahun satu ada akaun TikTok.

“Perlu ada mekanisme verifi­kasi umur untuk pengesahan dan kita serahkan kepada pihak TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok dengan PDRM, MCMC dan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman di sini, semalam.

Fahmi berkata, penggunaan electronic Know Your Customer (e-KYC) dan mengehadkan akses terhadap ciri-ciri tertentu dalam media sosial boleh digunakan mengekang penggunaan media sosial oleh individu bawah 13 tahun, seperti dilakukan di Singapura, Australia dan China yang menetapkan beberapa ciri tidak dibenarkan sekiranya gagal membuat pengesahan identiti.

Pihaknya turut akan me­ngadakan pertemuan dengan media sosial lain antaranya Meta dan X bagi membincangkan isu-isu termasuk jenayah penipuan.

Kelmarin, media melaporkan pihak pengurusan tertinggi TikTok dipanggil ke Bukit Aman berikutan kelewatan syarikat itu memberikan kerjasama kepada PDRM dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform terbabit.

Fahmi dilaporkan berkata, isu berkenaan termasuk yang tular baru-baru ini melibatkan hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Antara isu dikenal pasti termasuklah penyebaran kandu­ngan berkaitan pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo.

“Kami lihat pihak platform-platform ini mereka tidak mengambil sikap yang serius, jadi proses dialog itu akan dite­ruskan dan kami akan beri pe­negasan undang-undang Malaysia yang terpakai kepada mereka dan mereka wajib akur, kami akan panggil setiap platform,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×