JOHOR BAHRU: Kewujudan 12 akaun TikTok dan laman web termasuklah yang meniru wajah dan suara exco kerajaan negeri untuk memperdaya rakyat menggunakan Bantuan Kasih Johor (BKJ) merupakan jenayah terancang yang tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sindiket yang menyalahgunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) itu turut mencemarkan kepimpinan negeri kerana menggunakan logo dan identiti kerajaan secara tidak sah.
“Kerajaan negeri memandang serius pendedahan pihak polis berhubung kewujudan 12 akaun TikTok yang disyaki menyalahgunakan teknologi AI untuk meniru wajah dan suara exco kerajaan negeri Johor bagi memperdaya rakyat berkaitan BKJ.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempermainkan kebajikan rakyat. Ini cubaan mengeksploitasi kepercayaan rakyat bagi mencuri maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank selepas mangsa mendaftar di bawah pautan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad mendedahkan pihaknya mengesan sindiket menggunakan suara serta wajah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail bagi menyampaikan maklumat BKJ dalam akaun TikTok.
Beliau dilaporkan berkata, Khairin-Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 20 Februari lalu.
Sementara itu, Onn Hafiz turut meminta rakyat Johor mendapatkan maklumat berkaitan BKJ melalui saluran rasmi kerajaan negeri dan jangan menekan apa-apa pautan yang mencurigakan.
“Semua maklumat rasmi berkenaan BKJ hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi kerajaan negeri. Kerajaan negeri akan terus melindungi kebajikan serta keselamatan Bangsa Johor daripada ancaman jenayah siber,” katanya. – UTUSAN










