PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggiatkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui kerjasama dengan pengendali platform e-dagang bagi memperluas capaian kempen tersebut ke pasaran digital.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan KBBM disusun dengan beberapa objektif utama termasuk merangsang ekonomi domestik, menonjolkan kualiti produk tempatan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
“KBBM dilaksanakan bagi meningkatkan pembelian barangan tempatan sekali gus menjana pendapatan dan menyokong pertumbuhan perniagaan dalam negara.
“Ia juga menonjolkan kualiti produk buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa serta memupuk rasa bangga terhadap barangan tempatan,” katanya selepas merasmikan TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Armizan, kerjasama strategik bersama syarikat e-dagang turut membantu meningkatkan promosi, memperluaskan pasaran dan menggalakkan pembelian produk Malaysia secara dalam talian selaras dengan trend semasa.
“Sepanjang 2024, pelaksanaan KBBM melalui kerjasama rakan strategik e-dagang telah menjana hasil jualan barangan tempatan berjumlah RM1.99 bilion melibatkan 1.64 juta stock keeping unit (SKU). Melihat kepada perkembangan positif ini, KPDN akan memperluaskan lagi pelaksanaan kempen KBBM dalam talian,” katanya.
Antara rakan strategik yang terlibat ialah TikTok Shop Malaysia yang mewujudkan halaman promosi khas (microsite) bagi mengiklankan dan mempromosikan produk-produk barangan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut menjalinkan kerjasama dengan TikTok bagi memperkukuh kesedaran serta perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan digital di Malaysia.
“Kerjasama ini akan memperluas usaha advokasi dan pendidikan berkaitan harta intelek, selain memperkukuh aspek penguatkuasaan bagi melindungi hak pemilik harta intelek dalam persekitaran digital yang semakin pesat,” katanya. -UTUSAN










