Syarikat Sabah, Sarawak, Labuan boleh tuntut perbezaan harga diesel

Syarikat Sabah, Sarawak, Labuan boleh tuntut perbezaan harga diesel

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai ini.

Kemudahan itu disediakan bagi membolehkan syarikat yang layak di bawah sektor pengangkutan darat awam dan barangan membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang telah dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tuntutan bayaran balik tunai diesel pada harga tanpa subsidi di bawah SKDS ini adalah tertakluk syarat bagi pemohon SKDS sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Syarikat perlu mengemukakan bukti telah mendaftar di bawah SKDS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun ini.

“Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian diesel bermula 1 Julai sehingga 31 Julai ini atau sehingga tarikh fleet card diterima oleh syarikat pengangkutan atau yang mana lebih awal.

“Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian diesel dan dimuat naik melalui portal MySubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKDS di KPDN.

Beliau turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan membuat pendaftaran SKDS segera dan mengemukakan permohonan fleet card.

“Pendaftaran yang dibuat lebih awal akan membantu mempercepatkan proses pengeluaran fleet card sekali gus memastikan syarikat dapat terus menikmati diesel bersubsidi,” katanya.

Sejajar pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai ini, penggunaan fleet card menerusi SKDS untuk memanfaatkan subsidi bahan api akan berkuat kuasa.

Kewajipan itu meliputi sektor pengangkutan darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan.

Melalui mekanisme itu, kedua-dua sektor berkenaan, dengan jenis kenderaan yang disenaraikan, akan terus menikmati diesel bersubsidi, iaitu pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan darat barangan.

Pendaftaran menyertai SKDS di ketiga-tiga wilayah itu bagi sektor pengangkutan darat awam telah dibuka sejak 10 Jun 2024 manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan telah dibuka bermula 4 Mei lalu.

Setakat 22 Jun lalu, sebanyak 8,445 syarikat dan 30,557 kenderaan di ketiga-tiga negeri sudah membuat pendaftaran berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN