KPDN gesa syarikat pengangkutan darat barangan awam Sabah, Sarawak dan Labuan segera daftar SKDS

KPDN gesa syarikat pengangkutan darat barangan awam Sabah, Sarawak dan Labuan segera daftar SKDS

ARMIZAN Mohd. Ali semasa sidang akhbar Majlis Penyerahan Smartpay Fleet Card SKDS Negeri Sabah bertempat di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.-UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa semua syarikat pengangkutan darat barangan dan awam yang layak di Sabah, Sarawak serta Labuan untuk segera mendaftarkan kenderaan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan segera itu penting memandangkan penggunaan wajib kad fleet SKDS untuk mendapatkan subsidi diesel akan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya, syarikat yang layak tidak seharusnya menangguhkan proses pendaftaran sehingga saat akhir kerana selepas pelaksanaan mandatori tersebut, subsidi diesel hanya boleh diperoleh melalui mekanisme kad fleet.

“Jangan tunggu sehingga saat akhir. Semua syarikat yang layak perlu membuat permohonan segera kerana selepas pelaksanaan wajib SKDS nanti, subsidi diesel hanya boleh dinikmati melalui mekanisme kad fleet.

“Ini penting bagi memastikan kenderaan yang tersenarai di bawah 33 kategori kenderaan layak terus menerima subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam,” katanya semesa sidang akhbar Majlis Penyerahan Smartpay Fleet Card SKDS Negeri Sabah di sini, hari ini.

Armizan berkata, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dibuka sejak 4 Mei lalu manakala sektor pengangkutan darat awam menikmati kemudahan subsidi menerusi sistem itu sejak Jun 2024.

Beliau menjelaskan setakat 14 Jun lalu, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan di ketiga-tiga wilayah berkenaan telah berdaftar di bawah SKDS.

“Di Sabah, sebanyak 3,922 syarikat melibatkan 14,415 kenderaan telah didaftarkan, manakala Sarawak merekodkan 3,869 syarikat dengan 14,447 kenderaan.

“Labuan pula melibatkan 269 syarikat dan 769 kenderaan. Jumlah ini menunjukkan sambutan yang baik, namun masih terdapat syarikat yang layak belum membuat pendaftaran,” katanya.

Katanya, kerajaan telah mempermudahkan proses permohonan menerusi portal MySubsidi yang diintegrasikan dengan pelbagai sistem agensi berkaitan bagi membolehkan kelulusan diberikan dengan lebih pantas.

Menurutnya, peluasan SKDS ke Sabah, Sarawak dan Labuan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan pemantauan serta penguatkuasaan penyaluran subsidi diesel secara digital bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN